Haji dan Umrah: Layakkah aku menjadi Tetamu Allah?

Musim cuti sekolah selain sinonim dengan majlis perkahwinan dan kenduri untuk meraikan pasangan yang telah diijab-kabulkan, ianya juga dikaitkan dengan program Umrah dan Ziarah bagi mereka yang berkemampuan untuk mengunjungi Makkah al-Mukarramah. Malah program umrah dan ziarah ini menjadi agenda tahunan bagi mereka yang telah mendapat nikmat melalui kunjungan ke Tanah Suci dan ibadah yang dilakukan di sana. Pelbagai tujuan dan gelagat manusia yang tersingkap disebalik keghairahan untuk mengunjungi Kota Suci ini. Ada yang pergi kerana ingin melancong dan melihat dengan lebih dekat disamping merasai sendiri kemuliaan Tanah Haram sebagaimana yang sering menjadi buah mulut para jemaah yang telah pernah mengunjunginya. Ada juga yang berazam untuk mengambil pengalaman pertama sebelum dijemput untuk menunaikan ibadah haji yang difardhukan.

            Walaupun kunjungan kita ke Makkah al-Mukarramah untuk menunaikan ibadah Umrah yang sunat, namun harus difahami ibadah umrah juga adalah ibadah yang penting untuk dihayati, dipelajari manasiknya (cara perlaksanaannya) dan dimurnikan tujuan serta niat untuk melaksanakannya. Janganlah pula keghairahan itu nanti menjadi penyebabkan kepada kita terjebak dalam maksiat yang berganda disebabkan kejahilan yang kita bawa apabila melangkahkan kaki ke sana.

Kategori Tetamu Allah

Saudaraku, fahamilah bahawa ibadah umrah juga adalah ibadah utama bagi yang mampu dan telah terpanggil untuk menunaikannya. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Orang-orang yang menunaikan haji dan umrah adalah tetamu Allah. Apabila mereka memohon kepadanya, pasti diperkenankan. Dan apabila mereka memohon keampunan kepadaNya, pasti diampunkan.” (Riwayat Nasa’i, ibnu Hibban dan Hakim).

Orang-orang yang menunaikan haji dan umrah adalah para tetamu Allah. Manakala kedudukan dan tahap kesempurnaan jemputannya pula dapat ditentukan berdasarkan kepada ciri-ciri keutamaan dan keadaan persiapan seseorang jemaah sebelum terpilih dan dipilih untuk menunaikan ibadah haji dan umrah. Secara umumnya para tetamu Allah tergolong kepada tiga kategori;

  1. Tetamu yang dijemput dengan rahmat dan keredhaanNya
  2. Tetamu yang diterima dalam keadaan kemurkaanNya.
  3. Tetamu yang diterima tetapi tidak jelas kedudukannya.

Ketiga-tiga golongan ini termasuk dalam jaminan Allah SWT, iaitu doa dan taubat mereka akan dikabulkan Allah SWT jika mereka memohon bersungguh-sungguh kepada-Nya serta memenuhi segala syaratnya. Namun terdapat perbezaan dari segi layanan Allah SWT kepada mereka setelah mana mereka tersenarai dalam jemputan-Nya itu.

a.      Tetamu yang dijemput dengan rahmat dan keredhaanNya

Golongan pertama ialah tetamu yang dijemput dengan rahmat dan keredhaanNya adalah dikalangan mereka yang telah membuat persiapan seawal niat dan azam untuk menunaikan haji serta umrah lagi. Antara persiapan yang telah mereka persiapkan;

  1. Membersihkan jiwa batiniah melalui taubat yang bersungguh-sungguh disamping memperbanyakkan doa-doa khusus supaya dijemput sebagai tetamu-Nya.
  2. Mempersiapkan diri dengan ilmu amali ibadah haji dan umrah seawal mungkin agar jelas difahami dengan rasa penuh keyakinan di dalam hati pada perlaksanaan dan penghayatan serta hikmahnya.
  3. Memberi tumpuan dan meningkatkan kualiti ibadah fardu seperti solat, zakat serta puasa malah diperkemaskan dan ditunaikan berserta amalan sunat dengan sebaik mungkin.
  4. Hubungan sesama manusia diperbaiki, jika ada dosa dan pernah membuat kejahatan kepada sesama insan maka ia akan bersegera memohon kemaafan kepada mereka.
  5. Dilangsaikan segala hutang yang mampu dijelaskan disamping membuat perancangan dengan teliti agar tidak membebankan mereka yang ditinggalkan.
  6. Mempersiapkan semua keperluan yang patut bagi meringankan segala bebanan dan tanggungjawab yang bakal ditinggalkan dengan secara yang halal. Mereka ikhlas melakukan yang demikian demi mencari redhanya Tuhan.

Keikhlasan mereka itu adalah antara penyebab kepada segala urusan mereka dipermudahkan Allah SWT. Malah sepanjang menunaikan ibadah haji dan umrah juga akan berada dalam ketenangan dan dilimpahi bantuan daripada Allah SWT. Mereka ini telah benar-benar menghayati dan mempraktikkan suruhan Allah SWT sebagai bekalan menuju kepada keredhaan-Nya, sebagaimana firman Allah SWT:

Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya, kerana sebaik-baik bekal itu ialah Takwa (memelihara diri), dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).”

(Surah al-Baqarah: 197)

Bekalan takwa mereka ialah pemeliharan diri daripada sifat-sifat mazmumah yakni sifat-sifat keji, memiliki ilmu serta praktikal ibadah yang sempurna. Disamping itu juga, mereka mempunyai kefahaman dalam ertikata yang sebenarnya dalam meningkatkan penghayatan pada ibadah dengan belajar untuk memperbaiki diri dalam setiap praktik amalan haji dan umrah. Memperelokkan hubungan mereka dengan Allah SWT melalui penyempurnaan iman dan kecintaan yang hakiki kepada Ilahi, serta menyantuni manusia dalam semua keadaan sebagai pelengkap keindahan akhlak dan adab melalui hablum minannas, hubungan mereka semasa manusia.

b.     Tetamu yang diterima dalam keadaan kemurkaanNya.

Manakala golongan kedua iaitu tetamu yang diterima dalam keadaan kemurkaan Allah SWT ialah mereka yang sebaliknya.  Ada yang pergi ke Makkah dengan niat hanya untuk berziarah atau melancong dan mengalami sendiri pengalaman sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh kebanyakkan orang yang telah menziarahinya.

Ada juga yang dalam keadaan terpaksa mengerjakan ibadah haji kerana mengikut suami, ibu bapa, keluarga, majikan, kelab atau jemaah tertentu. Ada juga yang merasai kewajipan itu pada dirinya lantas ia berusaha melayakkan dirinya, namun pelbagai niat dan persepsi yang dilahirkan hanya sekadar ‘melepaskan batuk di tangga sahaja’ tanpa membuat persiapan yang menyeluruh merangkumi niat, bekalan ilmu, iman dan amalan. Kebanyakkannya benar-benar berharap mendapat yang terbaik tetapi tidak menepati syarat. Tidak kurang juga yang hanya tangkap muat, asal terlaksana ibadah haji dan umrah sudah dianggap memadai.

       Satu ketika seorang sahabat Nabi SAW, Abdullah Bin Umar RA apabila melihat rombongan haji sedang melewati satu jalan, beliau berkata: “Pada hari ini, para jemaah haji menjadi semakin berkurangan dan pengembara-pengembara semakin bertambah ramai.”

     Ungkapan beliau itu bermaksud, para kekasih Allah SWT yang sebenar semakin sedikit. Iaitu mereka yang pergi menunaikan ibadah haji kerana Allah SWT disamping untuk mengambil faedah dan tarbiah daripadanya semakin berkurangan. Sementara dikalangan mereka yang tidak ikhlas telah bertambah dengan hebatnya. Justeru ia menyeru ke arah kesederhanaan dan menjauhkan segala kemewahan dan keseronokan.

Mana tidaknya, jemaah haji sekarang ini lebih didedahkan kepada segala kemudahan yang tersedia bermula dari bimbingan ibadah haji sehinggalah kepada pakej-pakej yang ditawarkan. Malah persekitaran dan aktiviti di tanah suci juga telah menampakkan kemewahan dan bersifat keduniaan. Perkara ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi sikap dan tindakan dalam persiapan dan keadaan sebagai tetamu Allah.

     Inilah cabaran terbesar di zaman kita ini. Justeru, para jemaah haji hendaklah menunjukkan tanda keghairahan cinta kepada Allah SWT, dan bukannya tanda cinta kepada kemewahan, kesenangan atau kecantikan yang bersifat keduniaan. Membuktikan bahawa pemergiannya untuk menunaikan ibadah haji itu semata-mata mencari keredhaan Allah SWT agar tidak tergolong dalam salah satu daripada golongan yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW:

“Akan datang kepada manusia suatu masa, umatku melakukan haji kerana empat perkara: Orang kaya melaksanakan ibadah haji kerana melancong. Orang pertengahan menunaikan haji kerana berniaga. Orang miskin menunaikan haji kerana meminta-minta. Orang qari dan para ilmuaan menunaikan haji kerana riya’ dan nama.”  (Riwayat al-Dailamy)

Ujian adalah kifarah        

Namun sifat pengampunnya Allah SWT masih memberi ruang dan peluang untuk para hamba-Nya bertaubat dan menginsafi diri. Walaupun hadirnya mereka mengundang kemurkaan Allah SWT disebabkan sikap yang ada pada diri mereka iaitu memberi keutamaan kepada nafsu dan bukannya untuk menyatakan ketaatan kepada Allah SWT. Tetapi Maha Pengasihnya Allah SWT masih membuka tawaran keampunan untuk hamba-hamba-Nya bertaubat dan menginsafi diri.

Justeru kepayahan, kesakitan, tekanan yang wujud semasa, sebelum atau selepas menunaikan haji dan umrah adalah kifarat serta ujian Allah SWT untuk para hamba-Nya. Sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadis sahih daripada Abu Hurairah dan Abu Said Al-Khudri, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

“Tidaklah seorang mukmin dilanda kecemasan, kelelahan dan kesedihan, melainkan Allah SWT akan menghapuskan segala kesalahannya.”

(Riwayat Muslim)

 Inilah hakikatnya komunikasi tanpa suara antara Tuhan dengan para hamba-Nya. Ujian terkecil malah yang terbesar adalah takdir Allah SWT. Ia mempunyai maksud tertentu untuk dibuat penilaian. Bagi para tetamu Allah khususnya, ia adalah sebagai ingatan atau kifarat daripada dosa moga hamba-Nya itu akan segera bertaubat, menyedari segala kesilapan sama ada dengan Allah SWT ataupun sesama manusia. Ujian juga bermaksud qisas (pembalasan) ke atas dosa-dosa kita. Setiap perbuatan dosa mesti dihukum, sama ada di dunia ataupun di akhirat, kecuali jika kita telah bertaubat bersungguh-sungguh sehingga Allah SWT mengampuni dosa-dosa tersebut.

Ujian sebenarnya melatih kita untuk mengubah ketrampilan diri bagi mendapat sifat-sifat terpuji. Sabar, redha, tawakal, baik sangka, mengakui diri sebagai sebagai hamba yang lemah, mendekatkan diri kepada Allah SWT, harapkan pertolongan Allah SWT, merasai dunia hanya nikmat sementara dan sebagainya. Semuanya ini tidak dapat kita bezakan melainkan melalui ujian yang disediakan Allah SWT mengikut tahap keimanan kita bagi mencetuskan segala sifat mahmudah dalam diri.

Natijahnya apabila mampu membuat diri terasa berdosa ianya juga adalah hasilan dari sifat terpuji yang telah kita miliki. Kadang-kala Allah SWT dedahkan dosa yang dilakukan hingga ramai orang tahu. Bukannya untuk menghina tetapi untuk memberi ingatan agar kita segera bertaubat dan tidak meneruskan dosa itu sampai bila-bila.

Banyak kisah pengalaman dari para jemaah haji atau umrah yang bertemu dengan pelbagai keadaan manusia yang dibukakan keaibannya oleh Allah SWT.  Mungkin itulah dia kifarat yang kadang-kala sehingga mencederakan perlaksanaan ibadah haji dan umrahnya. Bagaimana pula status haji atau umrahnya itu? Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya. Kita hanya mampu bersangka baik dan menilai dari lahiriah perbuatannya sahaja. Bila sah pada syarak maka sahlah hajinya. Terpulanglah kepada Allah SWT untuk menentukan nilai penerimaannya berdasarkan keikhlasan yang telah ditunjukkan sepanjang proses perlaksanaan ibadah tersebut.

Bagi mereka yang dikasihi Allah SWT, di dunia lagi Allah SWT hukum, tidak di akhirat, dengan didatangkan kesusahan, penderitaan, kesakitan dan sebagainya. Sekiranya kita boleh sabar dan redha, tentulah ada ganjaran pahala untuk kita. Sebaliknya kalau kita tidak boleh bersabar dan tidak redha malah merungut-rungut, mengeluh dan memberontak, ianya hanya akan menambah dosa pada diri kita. Begitulah Allah Yang Maha Pengasih kepada para hambaNya, tidak mahu menghukum kita di akhirat kerana penderitaan di akhirat yakni di neraka berpuluh-puluh kali ganda lebih dahsyat daripada penderitaan di dunia.

Ujian juga adalah untuk menilai sejauhmana keyakinan kita kepada Allah SWT. Semakin diuji sepatutnya semakin bertambah iman, dan semakin hampir kita dengan Allah SWT. Firman Allah yang bermaksud;

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antara kamu dan belum nyata orang-orang yang bersabar.”

(Surah ali-Imran: 142)

Namun begitu, kegagalan dalam menghayati hikmah ini menyebabkan kita bertambah jauh dengan Allah SWT; mengeluh dan menyesali takdir Allah SWT. Apatah lagi ianya akan menjauhkan kita untuk mengapai kesempurnaan haji dan umrah yang mabrur lagi bertadabbur.

c.      Tetamu yang diterima tetapi tidak jelas kedudukannya.

Seterusnya golongan ketiga iaitu tetamu yang diterima tetapi tidak jelas kedudukannya. Mereka dalam kategori ini pergi menunaikan haji dan umrah hanyalah sekadar kebetulan. Sekadar memenuhi kehendak semasa ataupun dalam keadaan terpaksa apabila sering disapa orang, rakan-rakan atau sanak saudara yang telah pergi menunaikannya. Seolah-olahnya hanya sebagai menyahut cabaran.

Suatu ketika saya pernah ditanya berkenaan dengan adanya dikalangan jemaah haji yang datang ke Makkah untuk menunaikan haji dan umrah sedangkan sebelum itu dia telah banyak melakukan dosa. Malah setelah pulang dari menunaikan haji pun ia masih lagi meneruskan amalan-amalan dosa yang pernah dilakukannya malah lebih hebat lagi. Bila ditanya, dia seolah-olah mempermain-mainkan saja teguran tersebut.

Ada antara mereka yang menjawab dengan angkuh; “Kau tengok aku. Aku nampak Kaabah, tak terasa panas, tak pernah sesat macam orang yang aku selalu dengar kisah-kisah aneh di Makkah tu. Itu menunjukkan aku okeylah. Tuhan merestui aku. Kalau aku jahat tentu aku ditimpa macam-macam insiden malang seperti yang diceritakan dalam kisah-kisah aneh tu. Ini tidak. Aku okey, okey saja..’”

Tidak mustahil, ada juga jemaah haji setelah pulang ke tanah air dengan keadaan selamba berterusan membuat dosa seperti membeli nombor ekor atau ramalan (loteri), mendedahkan aurat, menipu, rasuah, khianat dan sebagainya. Inilah sebuah realiti yang berlaku dikalangan para jemaah yang tidak memahami tujuan kefarduan ibadah haji dan umrah yang terdapat padanya latihan, hikmah serta pengajaran.

Perlu diingat, kisah-kisah misteri atau bala kesusahan bukanlah satu kemestian berlaku kepada setiap orang yang berdosa atau yang tidak betul niat dan tujuannya. Ia hanyalah tarbiah Allah SWT untuk mendidik para tetamu-Nya yang datang serta memiliki keazaman dan niat mengabdikan diri kepadaNya. Kadang-kala ianya bermanfaat sebagai pengajaran supaya hamba-hamba-Nya yang ikhlas itu sedar dan ingat untuk kembali bertaubat.

Namun hanya Allah Yang Maha Mengetahui segala tujuan yang tersirat di dalam hati-hati manusia, ikhlas ataupun tidak. Boleh jadi Allah SWT akan membiarkan orang yang penuh dengan dosa dan leka akan terus lalai dengan kehidupannya. Na’uzubillahi min zalik. Sebagaimana firman Allah SWT:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Sesiapa yang berada di dalam kesesatan, maka biarlah (Allah) Ar-Rahman melanjutkan baginya satu tempoh yang tertentu, hingga apabila mereka melihat apa yang dijanjikan kepada mereka, – sama ada azab sengsara dunia ataupun azab kiamat.”

(Surah Maryam: 75)

Kesan dari pengabaian kepada dosa mengakibatkan akalnya sudah tidak mampu lagi membezakan antara ibadah dan adat. Biasanya apabila akal tidak berfungsi dengan sempurna sebagaimana sepatutnya, ingatan serta nasihat sudah tidak berguna lagi. Akal pada saat itu telah diseliputi nafsu yang akan membinasakan dirinya sendiri.  Keadaan beginilah yang seharusnya kita takuti dan berusaha menjauhinya. Bila dosa sudah dianggap nikmat serta mengaburi pandangan mata hati maka Allah SWT akan membiarkan kita terus leka dengan kehidupan di dunia ini tanpa hidayah-Nya.

Tanpa mengenali baik dan buruk yang terdapat dalam diri, akan menyebabkan kita hanyut dalam khayalan sendiri tanpa petunjuk dan bimbingan daripada Ilahi. Inilah pentingnya “Tazkiyatul Nafs” yakni membersihkan hati dan jiwa dari sifat-sifat keji dan dari segala penyakit serta keaiban yang akan menyebabkan kita buta dari mengenali Allah SWT dan perkara-perkara kebaikan dalam kehidupan.

Justeru jika tidak dibendung dan diperbaiki, mereka yang termasuk dalam golongan ketiga ini mungkin akan menjadikan amalan haji atau umrah ini hanya sekadar kebanggaan untuk ditunjuk-tunjuk bahawa mereka juga bertaubat serta beribadah. Namun hakikat sebaliknya, taubat mereka hanyalah kepura-puraan, tagis mereka hanyalah kemunafikan lantas mereka pulang ke tanah air dalam keadaan angkuh dengan Allah SWT dan riak sesama manusia.

Mereka kekal menjadi manusia yang derhaka kepada Allah SWT. Ibadah haji dan umrah dapat dilaksanakan dengan sempurna tetapi kewajipan menutup aurat masih diabaikan, segala perintah dan hukum Allah SWT masih dipertikai, malah segala perkara yang merupakan ibadah masih dicuai. Sesungguhnya mereka ini adalah insan malang yang tersungkur di hadapan pintu syurga.  “Ya Allah selamatkanlah kami dari keadaan ini.”

Sesungguhnya tidak ada ibadah yang paling buruk melebihi ibadahnya seorang yang fasiq (pelaku dosa besar dan dosa kecil yang terus menerus) tanpa taubat sebelumnya. Adakah kita berharap rahmat dan redha-Nya sedangkan kita tidak menjauhi larangan-Nya? Ketahuilah, bahawa syarat daripada ibadah yang diterima Allah SWT semestinya diawali dengan taubatan nasuha, taubat yang bersungguh-sungguh lahir dari hati yang penuh penyesalan, berhenti daripada segala kelakuan yang jahat, tinggalkan segala bentuk maksiat, sedangkan perkara itu semua merupakan penghalang kepada ibadah kita.

Kesimpulan

Saudaraku, layakkah bagi kita melakukan perjalanan panjang menuju Baitullah al-Haram untuk memenuhi panggilan-Nya sedangkan kita masih dalam keadaan zalim pada diri sendiri dan orang-orang di sekitar kita? Tidakkah kita malu sebagai pelaku maksiat mendatangi Baitullah al-Haram hanya untuk diusir dan ditolak amalan serta doa? Maka jika kita ingin diterima atas panggilan ibadah haji atau umrah, bersihkanlah diri dari noda dan dosa, serta penuhilah perintah dan jauhi larangan-Nya sebelum keberangkatan kita menuju tanah yang Allah SWT muliakan.

Dengan membuang semua perkara yang dapat menghalangi ibadah haji dan umrah kita, bererti kita telah mempersiapkan diri untuk memenuhi panggilan-Nya, maka bersiaplah sebagaimana persiapan orang yang akan meninggalkan dunia ini untuk selamanya. Tinggalkan wasiat kepada keluarga, anak dan isteri, kerana seorang musafir sangat dekat dengan musibah kecuali bagi orang yang mendapat perlindungan Allah SWT sahaja.

 Artikel ini adalah sedutan daripada buku: Dhuyufur-rahman, Tip Perjalanan Menuju Allah Khusus Bagi Jemaah Haji & Umrah

About Mohamad Zaki Abdul Halim

Kehidupan adalah sebuah perjalanan yang memberi kita pelbagai pengajaran. Sedar atau tidak kita sedang menuju destinasi yang pasti, namun...

Posted on 6 Mac 2012, in Perbincangan Ilmiah. Bookmark the permalink. 18 Komen.

  1. Alhamdulilah. Terima Kasih Ust;-)

  2. mohon di kongsi di dalam pembelajaran saya

  3. T. kasih atas perkongsian ini. begitu bermakna bg sy.
    Byk kekurangan dn kesilapan yg sy lakukan pd umrah yg lalu.
    moga sy mendpt keampunan dariNya

  4. terima kasih ustaz.. banyak yg saya belajar dari infor ini. mmg benar .ada yg mebuat umrah dan haji hanya untuk mengikut trend masa kini.. nauzubillah..minta dijauhkan..ameen…

  5. Terimakasih
    sangat membantu menjawab pertanyaan d hati saya

  6. That is a good tip especially to those new to the blogosphere.
    Simple but very precise information… Thanks for sharing this one.
    A must read article!

  7. Pretty! This was a really wonderful article. Thanks for supplying this
    information.

  8. It’s great that you are getting ideas from this article
    as well as from our discussion made here.

  9. Assalamu alaikum Ustaz,
    Terima kasih di atas artikel yang menarik ini. Ia telah menyentuh jiwa saya dan berjaya menitiskan air mata tanda keinsafan dan kekerdilan diri ini. Didoakan semoga Allah sentiasa memberkati Ustaz dengan HidayahNya dan Keafiatan berterusan.

  10. Hi there, this weekend is pleasant for me, as this time i am reading this enormous informative article here at my residence.

  11. Saya berminat berkongsi Ilmu seprti ini

  1. Pingback: Haji dan Umrah: Layakkah aku menjadi Tetamu Allah? « Masjid Daerah Seberang Perai Selatan

  2. Pingback: VisitKaaba – Malaysia – Haji dan Umrah: Layakkah aku menjadi Tetamu Allah?

Tinggalkan komen