Rumah

Seminar Feqh Solat

1 Komen

Jom kita menilai kembali ibadat solat yang sering kita laksanakan. Adakah benar-benar menepati syarak ataupun telah tersasar? Ibadah solat  merupakan ibadah fardhu bagi setiap individu muslim yang baligh dan cukup segala syaratnya. Ia juga merupakan amalan utama dan pertama yang akan dinilai oleh Allah SWT di akhirat nanti.

Justeru, menghadiri Seminar Feqh Solat adalah merupakan usaha kita untuk memantapkan lagi kefahaman berkenaan ibadat solat. Dalam siri Seminar Feqh Solat kali ini para peserta akan didedahkan persoalan-persoalan berkaitan hikmah dan hukum-hakam wuduk, solat dan solat berjemaah.

Insyaallah, program Seminar Feqh Solat ini akan diadakan seperti butiran berikut:

Tarikh bermula : 20 Mei 2012 bersamaan 28 Jamadilakhir 1433 (Ahad)

Masa : 8:00 pagi hingga 5:00 ptg

Pendaftaran : RM 20.00 (Termasuk Kertas Kerja / Makan 3 kali)

Seminar akan dikendalikan oleh al-Fadhil Ustaz Hj Mohamad Zaki Bin Hj Abdul Halim, Imam Utama Masjid Daerah Seberang Perai Selatan.

Siapa yang perlu mengikuti kursus ini?

Kursus ini terbuka kepada para jemaah yang berhasrat untuk mengkoreksi ibadat solat yang sering dilakukan agar ia lebih berkualiti dan hampir kepada penerimaan Allah Taala. Para peserta juga akan dianugerahkan sijil penyertaan kepada yang berhajat sahaja khususnya dikalangan kakitangan kerajaan.

Semoga ibadat solat kita akan menjadi lebih berkualiti dan beroleh khusyuk serta kejayaan di akhirat nanti’, Insyaallah.

Pertanyaan lanjut sila hubungi pihak urusetia di talian 04-5831 340 (Ustaz Azahar)

Untuk mendapatkan borang penyertaan sila klik: Borang Penyertaan Seminar Feqh Solat MDSPS

Syubhah Membinasakan Akidah

Tinggalkan komen

Dalam tempoh kehidupan ini, kita tidak dapat lari daripada persoalan halal dan haram kerana segalanya tertakluk kepada penilaian Allah SWT terhadap segala amalan dan perbuatan yang kita lakukan. Sebagai panduan, setiap perkara dari segi hukum halal dan haramnya telah diperjelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran disamping hadis-hadis Rasulullah SAW menghuraikan lagi persoalan tersebut. Hukum halal dan haram yang mewarnai kehidupan manusia di dunia ini adalah suatu persoalan yang berkaitan dengan kepercayaan dan keimanan kita kepada Allah SWT ianya melibatkan suruhan serta tegahan, galakkan dan amaran.

Allah SWT tidak meninggalkan persoalan asas dan pokok yang melibatkan halal dan haram yang dibicarakan di dalam al-Quran mengenai urusan akidah, ibadah, syariah dan akhlak yang mulia tanpa ada jawapan serta panduan untuk melaksanakannya. Walaubagaimana pun di antara segala perkara yang jelas halal dan haram tersebut, ada perkara-perkara yang syubhah iaitu perkara yang samar-samar hukumnya di antara yang halal atau haram sebagai ujian untuk orang yang beriman. Justeru, orang mukmin yang benar dan bersifat warak akan meninggalkan perkara-perkara syubhah ini sebagai lambang kesempurnaan iman kerana dikhuatiri tanpa disedari ianya boleh terjatuh kepada perkara yang haram dan dimurkai Allah SWT.

Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Nukman bin Basyir r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, (sambil Nukman memegang kedua belah telinganya): “Sesungguhnya perkara halal itu jelas dan perkara haram itu pun jelas. Manakala di antara kedua-duanya terdapat perkara-perkara syubhat yang tidak diketahui oleh orang ramai. Oleh itu, sesiapa menjaga dirinya daripada perkara syubhat, maka dia telah bebas (dari kecaman) untuk agamanya dan kehormatannya dan sesiapa yang terjerumus ke dalam syubhat, bererti dia telah terjerumus ke dalam perkara haram.”

Memang tidak dapat dinafikan, tidak semua perkara yang telah Allah SWT dan Rasulullah SAW nyatakan dalam al-Quran dan hadis, jelas dari segi hukumnya sama ada halal ataupun haram. Namun begitu ianya tidak bermakna apabila Allah SWT dan Rasul-Nya tidak mengatakan mengenainya, lantas perkara itu boleh dianggap halal!

Rasulullah SAW telah menjelaskan di dalam hadis di atas bahawa antara halal dan haram, terdapat perkara syubhah. Syubhah merupakan sesuatu perkara atau keadaan yang tidak pasti akan hukumnya. Syubhah juga boleh juga ditakrifkan sebagai perasaan was-was akan sesuatu perkara. Walaupun syubhah bukanlah halal dan tidak juga haram, tetapi ianya tidak bermakna perkara syubhah itu boleh dilakukan sesuka hati.

Pengertian daripada hadis di atas juga jelas menyatakan, syubhah bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan ataupun dibuat main-main. Ini adalah kerana Rasulullah SAW menegaskan sesiapa yang menjauhkan perkara syubhat, maka dia telah menyelamatkan agama dan akidahnya serta memelihara kehormatannya. Akan tetapi jika sesiapa mengamalkan amalan syubhah, bermakna ia mengamalkan perkara yang haram dengan membelakang arahan dan perintah Allah SWT malah tidak berhati-hati dalam urusan tersebut. Bukankah itu satu penekanan dan penegasan yang berat?

Di dalam sebuah riwayat yang lain Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang menjauhi syubhah, telah selamatlah agamanya dan kehormatannya, barangsiapa yang menyertai syubhah, ia seolah telah jatuh dalam yang haram” ( Riwayat Muslim, no 1599, 3/1219)

Ingatan Rasulullah SAW dalam hadis ini membuatkan kita mesti berwaspada dalam setiap tindakan dan perkara yang bakal dilakukan dalam kehidupan seharian. Lebih-lebih lagi apabila segala aktiviti kita melibatkan urusan sesama manusia khususnya golongan yang tidak beriman. Malah mereka langsung tidak mengetahui apa itu halal dan haram yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Lagi

Haji dan Umrah: Layakkah aku menjadi Tetamu Allah?

2 Komen

Musim cuti sekolah selain sinonim dengan majlis perkahwinan dan kenduri untuk meraikan pasangan yang telah diijab-kabulkan, ianya juga dikaitkan dengan program Umrah dan Ziarah bagi mereka yang berkemampuan untuk mengunjungi Makkah al-Mukarramah. Malah program umrah dan ziarah ini menjadi agenda tahunan bagi mereka yang telah mendapat nikmat melalui kunjungan ke Tanah Suci dan ibadah yang dilakukan di sana. Pelbagai tujuan dan gelagat manusia yang tersingkap disebalik keghairahan untuk mengunjungi Kota Suci ini. Ada yang pergi kerana ingin melancong dan melihat dengan lebih dekat disamping merasai sendiri kemuliaan Tanah Haram sebagaimana yang sering menjadi buah mulut para jemaah yang telah pernah mengunjunginya. Ada juga yang berazam untuk mengambil pengalaman pertama sebelum dijemput untuk menunaikan ibadah haji yang difardhukan.

            Walaupun kunjungan kita ke Makkah al-Mukarramah untuk menunaikan ibadah Umrah yang sunat, namun harus difahami ibadah umrah juga adalah ibadah yang penting untuk dihayati, dipelajari manasiknya (cara perlaksanaannya) dan dimurnikan tujuan serta niat untuk melaksanakannya. Janganlah pula keghairahan itu nanti menjadi penyebabkan kepada kita terjebak dalam maksiat yang berganda disebabkan kejahilan yang kita bawa apabila melangkahkan kaki ke sana.

Kategori Tetamu Allah

Saudaraku, fahamilah bahawa ibadah umrah juga adalah ibadah utama bagi yang mampu dan telah terpanggil untuk menunaikannya. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Orang-orang yang menunaikan haji dan umrah adalah tetamu Allah. Apabila mereka memohon kepadanya, pasti diperkenankan. Dan apabila mereka memohon keampunan kepadaNya, pasti diampunkan.” (Riwayat Nasa’i, ibnu Hibban dan Hakim).

Orang-orang yang menunaikan haji dan umrah adalah para tetamu Allah. Manakala kedudukan dan tahap kesempurnaan jemputannya pula dapat ditentukan berdasarkan kepada ciri-ciri keutamaan dan keadaan persiapan seseorang jemaah sebelum terpilih dan dipilih untuk menunaikan ibadah haji dan umrah. Secara umumnya para tetamu Allah tergolong kepada tiga kategori;

  1. Tetamu yang dijemput dengan rahmat dan keredhaanNya
  2. Tetamu yang diterima dalam keadaan kemurkaanNya.
  3. Tetamu yang diterima tetapi tidak jelas kedudukannya.

Ketiga-tiga golongan ini termasuk dalam jaminan Allah SWT, iaitu doa dan taubat mereka akan dikabulkan Allah SWT jika mereka memohon bersungguh-sungguh kepada-Nya serta memenuhi segala syaratnya. Namun terdapat perbezaan dari segi layanan Allah SWT kepada mereka setelah mana mereka tersenarai dalam jemputan-Nya itu.

a.      Tetamu yang dijemput dengan rahmat dan keredhaanNya

Golongan pertama ialah tetamu yang dijemput dengan rahmat dan keredhaanNya adalah dikalangan mereka yang telah membuat persiapan seawal niat dan azam untuk menunaikan haji serta umrah lagi. Antara persiapan yang telah mereka persiapkan;

  1. Membersihkan jiwa batiniah melalui taubat yang bersungguh-sungguh disamping memperbanyakkan doa-doa khusus supaya dijemput sebagai tetamu-Nya.
  2. Mempersiapkan diri dengan ilmu amali ibadah haji dan umrah seawal mungkin agar jelas difahami dengan rasa penuh keyakinan di dalam hati pada perlaksanaan dan penghayatan serta hikmahnya.
  3. Memberi tumpuan dan meningkatkan kualiti ibadah fardu seperti solat, zakat serta puasa malah diperkemaskan dan ditunaikan berserta amalan sunat dengan sebaik mungkin.
  4. Hubungan sesama manusia diperbaiki, jika ada dosa dan pernah membuat kejahatan kepada sesama insan maka ia akan bersegera memohon kemaafan kepada mereka.
  5. Dilangsaikan segala hutang yang mampu dijelaskan disamping membuat perancangan dengan teliti agar tidak membebankan mereka yang ditinggalkan.
  6. Mempersiapkan semua keperluan yang patut bagi meringankan segala bebanan dan tanggungjawab yang bakal ditinggalkan dengan secara yang halal. Mereka ikhlas melakukan yang demikian demi mencari redhanya Tuhan.

Keikhlasan mereka itu adalah antara penyebab kepada segala urusan mereka dipermudahkan Allah SWT. Malah sepanjang menunaikan ibadah haji dan umrah juga akan berada dalam ketenangan dan dilimpahi bantuan daripada Allah SWT. Mereka ini telah benar-benar menghayati dan mempraktikkan suruhan Allah SWT sebagai bekalan menuju kepada keredhaan-Nya, sebagaimana firman Allah SWT:

Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya, kerana sebaik-baik bekal itu ialah Takwa (memelihara diri), dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).”

(Surah al-Baqarah: 197)

Bekalan takwa mereka ialah pemeliharan diri daripada sifat-sifat mazmumah yakni sifat-sifat keji, memiliki ilmu serta praktikal ibadah yang sempurna. Disamping itu juga, mereka mempunyai kefahaman dalam ertikata yang sebenarnya dalam meningkatkan penghayatan pada ibadah dengan belajar untuk memperbaiki diri dalam setiap praktik amalan haji dan umrah. Memperelokkan hubungan mereka dengan Allah SWT melalui penyempurnaan iman dan kecintaan yang hakiki kepada Ilahi, serta menyantuni manusia dalam semua keadaan sebagai pelengkap keindahan akhlak dan adab melalui hablum minannas, hubungan mereka semasa manusia. Lagi

Menunaikan Haji: Tunggu Sampai Seru?

Tinggalkan komen

Musim kursus asas haji sudah bermula. Ramai dikalangan jemaah yang telah berdaftar dengan Tabung Haji untuk menunaikan fardu haji mengintai-intai tempat-tempat kursus untuk dihadiri. Manalah tahu jika sekiranya nama mereka tersenarai untuk jemputan sebagai tetamu Allah pada tahun ini yang sering didoakan dimakbulkan Allah Taala. Namun tidak kurang juga ada dikalangan kita yang tidak mengambil peduli dengan seruan haji atau umrah ini. Mereka merasakan ibadah itu hanyalah kepada golongan-golongan tertentu sahaja, iaitu mereka yang mendapat seru. Betulkah untuk menunaikan ibadah haji dan umrah ini perlu menunggu sampai seru?

Suatu ketika saya telah didatangi oleh seorang wanita bertanyakan keadaan suaminya yang masih lagi tidak berminat untuk menunaikan haji ataupun umrah. Suaminya telah berusia melebihi 50 tahun, tetapi masih lagi tidak terlintas dan terdetik niat atau azam untuk menunaikan ibadah haji padahal duitnya telahpun mencukupi. Malah ia mampu pula melancong keluar negara sekurang-kurangnya dua kali setiap bulan. Apabila disapa oleh rakan-rakannya berkenaan menunaikan ibadah haji, dia sering berdalih dengan mengatakan; “belum sampai seru.”

Sesetengah orang beralasan “belum sampai seru” untuk melengah-lengahkan perlaksanaan ibadah haji. “Belum sampai seru” bukanlah alasan untuk mengabaikan keutamaan ibadah haji kerana hakikatnya seruan haji sudah lama disampaikan oleh Allah SWT melalui “lisan” Nabi Ibrahim AS.

Ketika Nabi Ibrahim AS membina Kaabah atas arahan Allah SWT dan bertawaf sebanyak tujuh kali setelah selesai melengkapkan tugasannya, Allah SWT mewahyukan kepadanya supaya menyeru manusia untuk datang ke Baitullah al-Haram bagi mengerjakan ibadah haji. Telah terakam kisah ini sebagaimana firman Allah SWT:

“Dan serulah manusia supaya mereka mengerjakan haji, nescaya mereka akan mendatangimu dengan berjalan kaki dan menunggang kenderaan berjenis-jenis unta yang kurus. Mereka datang dari seluruh pelusuk rantau yang jauh supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah bagi mereka, serta mereka dapat mengingati dengan menyebut nama Allah pada hari-hari yang tertentu dengan sebab Allah telah mengurniakan mereka binatang-binatang ternakan untuk dijadikan qurban.

(Surah Al-Haj:  27-28)

Lagi

Di Mana Syurgaku Di Sisimu Wahai Isteriku

Tinggalkan komen

Perkahwinan adalah merupakan suatu tuntutan agama dalam meraikan fitrah insani yang tersedia semenjak manusia diciptakan. Perkahwinan juga merupakan satu jalan bagi mencapai kedamaian dan ketenangan jiwa dalam usaha menagih keredhaan Allah SWT sebagai pelangkap kesempurnaan hidup insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Allah SWT memerintahkan dan menggalakkan hamba-hamba-Nya untuk berkahwin sebagaimana firman-Nya:

Dan kahwinlah orang bujang (Lelaki atau perempuan) dari kalangan kamu, dan orang yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah swt akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya, kerana Allah swt Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui” (Surah An-Nur 24:32)

Jaminan kekayaan yang dianugerahi Allah SWT ini bukanlah semata-mata dalam konteks wang ringgit dan harta-benda, tetapi kekayaan diri yang dimaksudkan ialah merasakan diri cukup dengan nikmat-nikmat Allah SWT yang seterusnya dapat mendekatkan kita dengan keredhaan-Nya.

Tanyalah setiap pasangan yang telah berkahwin, pasti mereka merasai nikmat Allah SWT itu meliputi mereka kerana isteri itu adalah anugerah Allah SWT. Dan kekayaan melalui nikmat itulah yang Allah SWT rakamkan dalam Firman-Nya:

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir.” (Surah al-Rum 30:21)

Hakikatnya Allah SWT menjadikan isteri itu sebagai pasangan buat lelaki adalah merupakan anugerah dan bukannya hak milik. Seseorang hanya akan merasa kaya apabila dia merasakan dirinya mendapat anugerah yang istimewa daripada Allah SWT. Dan rasa kekayaan itulah yang dirasai apabila isteri itu dilihat sebagai anugerah Yang Maha Esa. Namun, sebaliknya jika kita merasakan isteri itu hak milik, maka kita tidak pernah akan merasa cukup dengan pemilikan itu, dan sentiasa merasa gelisah  serta berwaspada akan kehilangannya.

Disebalik anugerah Allah SWT itulah kita akan mendapatkan syurga. Rasulullah s.a.w sentiasa mengingatkan kita melalui hadis-hadis yang terakam melalui riwayat yang pelbagai bahawa terlalu banyak kebaikan yang Allah SWT ganjarkan kepada mereka yang berkahwin. Antaranya terdapat hadis yang menyebutkan bahawa Rasulullah SAW telah mengiktiraf perkahwinan ini dengan sempurnanya separuh daripada agama, maka sebahagiannya lagi disuruh kita supaya bertakwa.

Mengapa begitu besar ganjaran Allah SWT disebalik anugerah itu yang sudah pastinya bukan sekadar mengkayakan kita di dunia, malah menambah saham akhirat dengan berlipat kali ganda? Jika ditanyakan pasangan yang telah berkahwin, sudah pasti mereka akan katakan, terlalu banyak peluang membuat kebaikan kepada isteri dan anak-anak yang seterusnya menjanjikan syurga.

Lagi

Hak Isteri Di Sisi Suami

4 Komen

Apabila pasangan suami isteri telah selamat diijab-kabulkan maka bermulalah tanggungjawab besar yang terpikul bersama antara suami dan isteri. Bahtera rumahtangga yang dikemudikan oleh suami bakal berlayar menempuh lautan yang luas menuju destinasi keredhaan ilahi. Namun lautan tidak selalunya tenang, langit tidak selalunya cerah, pelbagai dugaan dan ujian akan silih berganti. Kadang-kala badai menerjah menguji kesabaran dan kematangan hidup insan. Keadaan ini menagih kesabaran dan ketenangan dalam mengharunginya. Penyelamat yang paling ampuh ialah ilmu dan keimanan yang menebal kepada Tuhan.

Perkara asas dalam menjamin keharmonian rumahtangga ialah memahami hak-hak yang mesti dijaga oleh pasangan suami dan isteri. Kegagalan memahami dan menunaikannya akan mengakibatkan mahligai yang dibina akan mengalami keretakan.

Untuk catatan kali ini saya akan cuba mengupas dua hak utama bagi isteri secara zahir yang wajib dihormati serta dilaksanakan sepanjang tempoh perkahwinan supaya tidak timbul pecabulan hak dan kedamaian dalam jiwa seorang isteri.

Hak Pertama: Mahar

Mahar adalah suatu pemberian wajib daripada suami kepada isterinya dengan sebab berkahwin. Ia merupakan hak mutlak isteri yang tidak boleh dipertikaikan dan tidak boleh diambil oleh suami sesuka hati kecuali dengan keredhaan dan keizinan isterinya. Walaubagaimanapun suami dibolehkan berhutang mahar dengan isterinya, tetapi dengan syarat ianya wajib dilunaskan kembali.

Sekiranya suami enggan berbuat demikian, maka ianya adalah perbuatan maksiat yang diancam oleh Allah SWT. Iaitu sebagaimana ancaman Allah SWT kepada orang yang berhutang dengan niat tidak mahu membayar balik hutang tersebut sedangkan ia mampu untuk berbuat demikian. Perbuatan ini jelas merupakan penderhakaan terang-terangan terhadap hak isteri, sekaligus menderhakai Allah SWT.

Dari Muhammad bin Jahsy radhiyallaahu ‘anhu, ia berkata, “Pada suatu hari, kami duduk-duduk bersama Rasulullah SAW sedang menguburkan jenazah. Beliau menengadahkan kepalanya ke langit kemudian menepukkan dahi beliau dengan telapak tangan seraya bersabda: “Subhanallaah, betapa berat ancaman yang diturunkan.” Kami diam saja namun sesungguhnya kami terkejut. Keesokan harinya aku bertanya kepada beliau, ‘Wahai Rasulullah! Ancaman berat apakah yang turun?’ Beliau menjawab: “Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, seandainya seorang laki-laki terbunuh fii sabiilillaah kemudian dihidupkan kembali kemudian terbunuh kemudian dihidupkan kembali kemudian terbunuh sementara ia mempunyai hutang, maka ia tidak akan masuk surga hingga ia melunaskan hutangnya.’” (Riwayat An-Nasa’i dan Ahmad)

Lagi

Kursus Asas Ibadah Haji & Umrah 1433 (bersiri)

Tinggalkan komen

Jom kita menilai kembali ibadat Haji & Umrah kita, jika telah dilaksanakan. Mendapatkan Haji atau Umrah yang mabrur, insyaallah mudah kalau disertakan dengan segala syarat-syaratnya. Tetapi yang payahnya ialah untuk mengekalkan kemabruran tersebut dalam diri kita.

Justeru, menghadiri Kursus Haji atau Umrah bukan hanya bagi mereka yang baru berniat atau berazam hendak melaksanakannya tetapi juga yang lebih utama bagi mereka yang telah menunaikannya. Dalam siri-siri kursus yang bakal diadakan, insyaallah penekanan akan diberikan khusus kepada penghayatan Haji dan Umrah itu sendiri selain pendekatan mudah mengenai hukum-hakam yang berkaitan.

Masjid Daerah Seberang Perai Selatan dengan kerjasama Tabung Haji Pulau Pinang akan menganjurkan program kursus Ibadah Haji dan Umrah secara bersiri yang akan bermula seperti butiran berikut:

Tarikh bermula : 21 Januari 2012 bersamaan 27 Safar 1433 (Setiap hari Sabtu)

Masa : 9:00 hingga 11:15 pagi

Pendaftaran : RM 50.00 (Sekali sahaja)

Kursus akan dikendalikan oleh al-Fadhil Ustaz Hj Mohamad Zaki Bin Hj Abdul Halim, Pembimbing dan Guru Agama Tabung Haji yang juga merupakan Imam Utama Masjid Daerah Seberang Perai Selatan. Para peserta juga akan dibekalkan buku nota kursus.

Siapa yang perlu mengikuti kursus ini?

Kursus ini terbuka kepada para jemaah yang berhasrat untuk menunaikan ibadah haji dan umrah atau akan menyertai pakej umrah pada tahun ini. Program ini juga bermanfaat kepada bekas graduan ibadah haji untuk memantapkan lagi kefahaman dalam mengekalkan status haji mabrur.

Semoga kita dapat mengapai impian ‘Haji Mabrur’, Insyaallah.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Pejabat Pentadbiran MDSPS: 04-5831 340

Layari Blog Masjid Daerah SPS: http://mdspsjaipp.wordpress.com/2012/01/04/kursus-asas-ibadah-haji-umrah-1433/

Cintailah Rasulullah SAW Kerana Ia Mencintaimu

Tinggalkan komen

Renungkanlah wahai saudaraku, bagaimana kasihnya Rasulullah SAW kepada kita, umatnya. Sedangkan hati baginda SAW sentiasa hadir mengingati kita sebelum kelahiran kita lagi (seluruh umat Islam). Ada sebuah hadis menyebutkan tentang cinta dan kerinduan khusus Rasulullah SAW kepada umatnya yang terkemudian iaitu umat yang dilahirkan setelah kewafatannya. Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW telah pergi ke kawasan perkuburan Baqi’ dan bersabda:

Sejahtera ke atas kamu (penghuni) negeri orang-orang yang beriman. Sesungguhnya kami dengan kehendak Allah akan menyusuli kamu. Amat ingin di hatiku seandainya dapat kita melihat saudara-saudara kita”. Sahabat bertanya: “Apakah kami ini bukan saudara-saudaramu ya Rasulullah?” Baginda SAW menjawab: “Kamu semua adalah sahabat-sahabatku. Sedangkan saudara-saudara kita adalah (orang-orang mukmin) yang belum muncul (orang-orang beriman tanpa pernah melihat Rasulullah SAW)” [Riwayat Muslim, Ibn Majah, An-Nasa’ie dan Imam Malik]

Alangkah malangnya bagi mereka yang tidak pernah cuba untuk menghadirkan Rasulullah SAW dalam satu saat pun daripada kehidupan dan ingatan mereka, sedangkan baginda menghadirkan kita semua dalam kehidupannya dan juga dalam setiap doa. Rasulullah SAW sendiri menghayati kehadiran kita sebelum kelahiran kita, bagaimana kita tidak berusaha untuk menghayati kehadiran Rasulullah SAW setelah kewafatannya?

Bagaimana pula bentuk kehadiran Rasulullah SAW dalam segenap kehidupan umat Islam sedangkan Rasulullah SAW sudahpun wafat?  Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Hidupku adalah kebaikan kepada kamu dan wafatku adalah kebaikan juga kepada kamu, kerana segala amal kamu sentiasa dibentangkan kepadaku, maka apa saja amal yang aku dapati baik, aku ucapkan: Alhamdulillah, dan apa saja amal kamu yang aku dapati jahat, aku memohon keampunan Allah untuk kamu.” (Riwayat Ad-Dailami dan Al-Bazzar)

Hadis ini memahamkan kita bagaimana kehadiran Rasulullah SAW dalam kehidupan para umatnya dan sentiasa memerhatikan dan mengetahui perihal umatnya walaupun setelah kewafatan Baginda SAW. Dalam riwayat yang lain, dinyatakan bahawa segala amalan umat Baginda SAW akan dibentangkan kepadanya pada setiap malam Isnin dan Khamis.

Ini menunjukkan betapa Rasulullah SAW sememangnya hadir dalam kehidupan umat Islam dengan kehadiran yang hanya diketahui oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW sahaja. Namun, sudah pastilah rasa penghormatan dan penghargaan yang cuba dizahirkan oleh para umatnya akan juga sampai kepada Baginda SAW, melalui selawat dan doa disamping ziarah kita ke Makam baginda SAW melalui salam yang disampaikan selagimana menepati syarak.

Kisah al-Utbi

Daripada Imam al-’Utbi[1] bahawa ia telah menceritakan: “Adalah aku satu ketika duduk di samping Makam Junjungan Nabi SAW, maka telah datang seorang ‘Arabi (penduduk kampung) mengucapkan salam kepada Junjungan Nabi SAW dengan katanya: “Salam kesejahteraan bagimu, wahai Rasulullah, aku telah mendengar ayat Allah Ta`ala sebagaimana firman-Nya:

“Dan kalaulah mereka ketika menganiayai diri mereka sendiri (dengan membuat dosa dan kesalahan) datang kepadamu (wahai Nabi) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”  [Surah an-Nisa’: 64]

Dan aku telah mendatangimu dalam keadaan memohon keampunan daripada segala dosaku dan mengharapkan syafaatmu kepada Tuhanku.”

Lalu dia melantunkan beberapa bait syair seperti berikut:-

يا خير من دفنت بالقاع اعظمه * فطاب من طيبهن القاع والأكم

نفسي الفداء لقبر انت ساكنه * فيه العفاف وفيه الجود و الكرم

Maksudnya: “Wahai manusia terbaik bersemadi dalam bumi jasadnya, Maka harumlah lembah dan bukit dengan keharumannya, Jiwaku jadi tebusan kubur yang engkau penghuninya, Dalamnya ada (peribadi) yang suci, pemurah lagi mulia.”

Al-’Utbi meneruskan ceritanya; “Kemudian, dia berpaling meninggalkan Makam Junjungan Nabi SAW, tiba-tiba dua mataku mengantuk, lalu aku bermimpi melihat Junjungan Nabi SAW dalam tidurku dan baginda bersabda kepadaku:

Wahai ‘Utbi, segera pergi berjumpa A’rabi itu dan khabarkan berita gembira kepadanya bahawa Allah telah mengampuninya.[2]

Lagi

Buku Terbaru: Pulang Bersama Haji Mabrur

1 Komen

GB0149 : Pulang Bersama Haji Yang Mabrur
Pengarang : Mohamad Zaki Abdul Halim
Tebal : 180
ISBN : 978-983-097-335-7
Harga : W/M:RM19.00 E/M:RM21.00

Mengerjakan ibadah haji memerlukan kita berfikir dan bertindak mengikut arahan. Bagi orang yang berfikir dan berusaha menghayati ibadah ini sepenuh hati dan perasaan, mereka pasti melalui dimensi kehidupan yang berbeza. Apabila kita menyelami segala aturannya dengan bersungguh-sungguh, kita bertemu dengan mutiara-mutiara yang indah dan mahal harganya. Oleh sebab rahsia yang tersirat ini tidak diteroka, akhirnya mutiara-mutiara itu tetap tersimpan dan terus menjadi misteri. Buku ini memberi jawapannya dalam pencarian haji yang mabrur.

Buku ini mengandungi 5 bab, menghuraikan persoalan yang menjadi tanda tanya kepada kebanyakkan tetamu Allah berkenaan Haji Mabrur. Bab-bab dan pecahan perbincangan adalah seperti berikut;

Bab Satu: Permulaan Memburu Haji Mabrur

  • Pengertian Haji Mabrur
  • Makna Jihad Dalam Ibadah Haji
  • Keutamaan Haji Mabrur

Bab Dua: Tujuan Ibadah Haji

  • Niat – Menyempurnakan Mabrur
  • Pengorbanan – Asas Ukhuwah
  • Pelaksanaan – Berpaksikan Ilmu
  • Kecacatan Ibadah Haji – Mengurangkan Kemabruran

Bab Tiga: Persediaan Sebelum Berangkat Ke Makkah

  • Persediaan Pertama: Berada di Garisan Permulaan
  • Persediaan Kedua: Mendapatkan Ilmu yang Benar
  • Persediaan Ketiga: Memahami Tuntutan Syahadah
  • Persediaan Keempat: Memahami, Menghayati dan Melaksanakan Ibadah-ibadah Fardu
  • Persediaan Kelima: Penyuciaan Jiwa
  • Persediaan Keenam: Menyediakan Bekalan Kewangan
  • Persediaan Ketujuh: Persiapan Mental dan Fizikal

Bab Empat: Pelaksanaan Ibadah Haji

  • Bagaimanakah Memperolehi Penghayatan?
  • Menghayati dan Mempraktikkan Amalan Haji
  1. Ihram
  2. Talbiah
  3. Tawaf
  4. Saie
  5. Wukuf di Arafah
  6. Bermabit du Muzdalifah
  7. Melontar dan Mabit di Mina
  8. Menyembelih Korban dan Dam
  9. Bercukur
  10. Tawaf Widak
  11. Menziarahi Madinah Munawwarah

Bab Lima: Haji Mabrur

  • Pulang dari Bumi Barakah
  • Lima Tahap Imam untuk Mengukur Kemabruran haji
  • Mengekalkan Perubahan Diri
  • Gerbang Perubahan
  • Kuasa Mengekalkan dan Mengoptimumkan Perubahan

Beli secara online : Pulang Bersama Haji Mabrur

Khutbah Arafah 1432

Tinggalkan komen

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحَمْدُ للهِ الَّذِي شَرَعَ لِعِبَادِهِ القَادِرِيْن، حَجَّ بَيْتِهِ الحَرَامِ، وَجَعَلَ الحَجَّ اَحَدَ اَرْكَانِ الإِسْلاَمِ، وَغَفَرَ لِمَنْ حَجَّهُ لَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ جَمِيْعَ الذُّنُوْبِ وَالآثاَمِ، أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِ لهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَه، المَلِكُ العَلاَّمُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ أَفْضَلُ المُرْسَلِيْن وَأَكْمَلُ اِلإمَامِ،
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ عَبْدِكَ وَرَسُوْلِكَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ البَرَرَةِ الكِرَامِ وَهُدَاةِ الأَنَامِ. أَمَّا بَعْدُ،
فَيَا وَفْدَ اللهِ بِالأَرْضِ المُقَدَّسَةِ، إِتَّقُوا الله َوَاعْمَلُوا الصَّالِحَاتِ وَاجْتَنِبُوا المُنْكَرَاتِ وَاذْكُرُوا اللهَ كَثِيْرًا فِي أَيَّامٍ مَعْلُوْمَاتٍ وَاشْكُرُوْهُ وَأَكْثِرُوا الَتلبية لَبَّيْكَ اللّهُمَ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ ، إِنَّ الحَمْدَ وَالِنّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْك لاَ شَرِيْكَ لَك حَتَّى تَتَحَلَّلُوْا عَنِ اْلإِحْرَامِ,
مَعَاشِرَ المسلمينَ والمسلماتِ ضُيُوْفَ الرَّحمنِ رَحِمَكُمُ الله


Bertaqwalah kepada Allah dengan melakukan amalan mulia serta menjauhkan segala kemungkaran, ingatlah Allah sebanyak-banyaknya dan perbanyakkanlah bersalawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW di mana jua kita berada khususnya semasa menunaikan ibadat haji serta bersyukur kepada Allah di atas segala nikmat kurniaanNya,

Kehadiran kita di bumi Arafah pada hari ini adalah telah ditentukan Allah bagi melaksanakan ibadat haji yang menjadi salah satu dari rukun Islam yang wajib dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan.


Basahkanlah lidah dengan menyebut sebanyak-banyaknya kalimah talbiyyah:
لَبَّيْكَ اللّهُمَ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ ، إِنَّ الحَمْدَ وَالِنّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْك لاَ شِرِيْكَ لَك
Basahkan juga lidah-lidah kita, lembutkan hati-hati kita dengan Selawat kepada Baginda SAW, Zikrullah, Isthighfar, Berdoa, Bacaan Al-Quran serta amalan soleh yang lain, serta jauhkan diri daripada perbuatan yang boleh membawa kepada dosa.


Pada hakikatnya inilah suatu permukiman kita dalam suasana perkhemahan tarbawiyyah, ruhiyyah, ilahiyyah rabbaniyah dalam menyempurnakan ibadat teragung warisan Nabi Ibrahim Alaihissalam dan Junjungan Mulia baginda Nabi Muhammad SAW. Ambilah kesempatan ini untuk diguna sebaik mungkin untuk menjana iman dan taqwa seterusnya beristiqamah menurut jalan petunjuk yang lurus. Insya Allah.

مَعَاشِرَ المسلمينَ والمسلماتِ ضُيُوْفَ الرَّحمنِ رَحِمَكُمُ الله
Sesungguhnya intipati Islam adalah pengorbanan. Rasulullah SAW dan para sahabat Radiallahu ‘anhum telah berjuang berhabis-habisan tanpa rasa jemu dan tanpa mengenal erti kalah dan berputus asa demi menegakkan agama suci ini dengan berbagai-bagai dugaan, kelaparan, keringat, titisan air mata dan darah.


Natijah daripada inilah, bangsa yang berpuak-puak dan bertelingkah dan sesat selama berkurun lamanya sebelum ini telah ditukar dan ditarbiyyah mengikut acuan Islam dan akhirnya menjadi umat yang satu. Cahaya hidayah islam, iman, taqwa dan limpahan rahmat telah menerangi seluruh alam sehingga hari kiamat kelak.

Ibadat haji melatih kita supaya bersatu haluan dalam meninggikan syiar Islam, berganding bahu untuk menegakkan agama Allah menjalin hubungan yang erat tanpa mengira warna kulit, bahasa, adat resam sesama saudara Islam. Ibadat ini membuktikan bahawa kita semua adalah serupa dan tiada bezanya. Kebersamaan ini lahir atas kepatuhan dan ketundukan kepada Yang Maha Esa, menjadikan kita satu aqidah, satu iman, satu syariah, satu akhlak, satu qiblat dan satu tujuan.

Sabda Nabi SAW turut bersabda, mafhumnya :

Gambaran kehidupan orang yang beriman dari segi kasih sayang, saling bersimpati dan saling cinta mencintai samalah seperti anggota tubuh yang satu jika salah satu daripadanya mengadu kesakitan, ia melibatkan seluruh anggota lain tidak tidur malam dan demam”. (Riwayat Ahmad dan Muslim)

Rasulullah SAW bersabda bahawa mengerjakan haji adalah satu jihad, jihad ertinya perjuangan. Perjuangan yang hebat dan besar adalah perjuangan melawan hawa nafsu. Di dalam mengerjakan ibadat haji, menentang hawa nafsu menjadi ujian terbesar jika hendak mencapai haji mabrur. Rasulullah SAW telah mengingatkan kita bahawa mengerjakan haji itu adalah;


أَشْعَثَ أَغْبَرَ أَوْ شَعَثًا غَبَرًا
Yang bermaksud : “Kusut masai dan berdebu”


Digambarkan keadaan yang sedemikian kerana orang yang mengerjakan haji berlumba-lumba bersaing untuk mendapatkan keampunan Allah dan hidayahNya, ganjaran besar iaitu syurga yang penuh dengan kenikmatan dan kesenangan yang tidak terlintas di hati dan tergambar dalam pemikiran manusia.

Setiap jemaah haji sama-sama mempunyai peluang yang amat luas untuk mendapatkan keredhaan, keampunan dan hadiah syurga tersebut, berusaha melepasi dan mengatasi ranjau serta rintangan yang tersedia menanti. Sesungguhnya hawa nafsu sekiranya tidak dikawal ia akan mendorong manusia ke arah kejahatan dan kemungkaran.

Lagi

Older Entries

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.